The Memoirs of Mc Cheq...full version

Atas komen Kak Gem, entry ini ditranslate...konon cuma untuk koleksi peribadi dan tak ingin orang merasa jengkel, pada awalnya saya menulis dalam loghat Kelantan..pssstt! akak kena baca sampai habis tau...penat saya tulis dan translate nih..hehe

Ini bukan cerpen, Ini adalah sebuah kisah….Edisi yang di perkemas dari karya asal bertajuk “Ibu Mithali” yang ditulis 19 tahun yang lalu.

Tersebutlah sebuah kisah..Arakian di sebuah kampung terdapat lapan adik beradik yatim kematian bapa. Dalam keluarga yang telah kehilangan kepala rumahtangga tersebut, ada seorang anak perempuan digelar Mc Cheq. Anak kecil ini “sterile” orangnya ala2 dalam drama The Monk, asal pegang apa saja objek akan segera membasuh tangannya. Tidak boleh “kotor” barang sedetik. Mewarisi sifat moyangnya yang bernama Mek Kechek. Anak perempuan ini bermata bulat bundar, berkulit agak cerah, susuknya agak kurus (red. Dulu), berambut panjang lurus mengurai dan sentiasa diikat tocang.

Anak ini sifatnya agak matang lebih awal dari usianya. Dia tidak gemar bercampur gaul dengan anak2 lain yang bermain melompat sana sini. Sifatnya pendiam dan jalannya sentiasa menunduk memandang kaki (red.dulu). Kegemaran anak ini mengelek buku ke sana ke mari. Sambil berbuai, sambil menolong ibu berkebun ubi, jagung atau tebu. Pulang dari sekolah setelah makan dan solat, dia menyarung T-shirt dan berkain batek sarung serta bertudung lalu berjalan ke rumah guru mengaji Quran, bernama Wan. Selain itu, anak ini kegemarannya mengayuh basikal dan menyanyi dengan suara yang kuat sambil melepaskan tangan dari “handle”. Kadang2 suka berseluar pendek atau ber-skirt tanpa baju.

Apabila berumur 7 tahun, anak ini pun mula bersekolah. Hari pertama dihantar abahnya. Malam pertama persekolahan diajar abahnya mengenal abjad dan huruf. Perhatian berbaur kasih dari abah yang pertama dan terakhir buatnya. Abah mereka berkerja kontrak pembinaan di luar negara dan pulang setahun cuma beberapa kali. Hidup mereka jauh dari kemesraan dan perhatian sang abah. Minggu2 pertama bersekolah sangat indah. Dapat berjumpa dan mengenali ramai kawan baru. Kawan pertamanya bernama Khalifah. Walaupun tidak pernah belajar di tadika, anak ini cepat dan pintar mengeja. Sesiapa yang berjaya mengeja objek dalam gambar yang ditunjukkan guru,dibenarkan rehat lebih awal. Waktu rehat sudah hampir separuh, bahkan anak ini sampai sudah tidak mengangkat tangan, gara2 malu. Puas kakaknya yang menunggu di luar kelas berbisik C.H.I.L.I. sambil muka berubah berang.

Apabila anak ini di dalam darjah 2 berusia 8 tahun, abahnya meninggalkan mereka buat selama-lamanya. Tinggallah sang ibu muda 40 tahun bersama anak2nya yang seramai 8 orang. Yang sulong berumur 17 tahun dan yang bongsu baru berusia 2 bulan, belum pandai merangkak. Ibu yang sebelum ini suri rumah sepenuh masa, mula keluar berkerja membanting tulang. Menanam padi sebidang, menoreh getah kebun orang. Badannya setiap hari dibaluti “seragam” menoreh yang busuk bertampal getah tebal merata. Masuk hutan keluar hutan mencari seberkas mengkuang. Menjunjungnya di kepala, mukanya merah padam dan peluh membasahi seluruh badan, menggeletar kepenatan. Lencun baju dan seluar kusamnya.

Ibunya memproses sendiri daun2 mengkuang lalu dianyam menjadi berbidang2 tikar. Si ibu akan mengayam hingga jauh pagi. Bersengkang mata demi sesuap nasi untuk anak2. Tikar dijual RM70–RM80 sebidang. Dengan duit sebanyak itu, sangat bermakna buat mereka sekeluarga. Terasa sangat mewah. Hasil dari jualan tikar atau menoreh, ibu mereka akan membeli sekotak biskut tawar kecil cap ping pong yang keras, ikan kering selar kuning setengah kilo, serta beras ½ kati untuk mengalas perut sekeluarga.

Anak perempuan tadi begitu rajin dan tekun belajar. Bersekolah sesi petang memberi kelebihan padanya. Pagi2 dia akan menyusul ibunya ke kebun getah orang sejauh kira2 4 km. Meninggalkan adik2 yang masih nyenyak tidur. Hari masih samar2 seawal 6 pagi, dia seorang diri menyusuri denai hutan rumbia, melintasi sungai melalui jambatan kayu nan sebatang. Pandang belakang, pandang kiri dan kanan...gelap. Cuma bayang2 pokok besar yang kelihatan, seperti lembaga hitam yang besar dan menakutkan. Rerumput yang dipijak masih basah. Dari kejauhan ternampak sebuah bangsal sekeluarga yang mengerjakan tanaman tembakau. Perasaannya lega dan keberanian mula menyusup perlahan-lahan. “Oh, ada orang”..bisik anak berusia 9 tahun itu sendirian.

Setiba di kebun getah yang seluas 4 ha yang dikerjakan ibu bersama ibu saudaranya, dia akan memanggil2 ibunya yang terlindung di celah2 pokok getah sebesar lebih dari dua pemeluknya. Panggilan bersahut dan dia berlari mendapatkan sang ibu. Sambil mengekori ibu menoreh dari pohon ke pohon dia bernyanyi riang lagu kegemarannya “Oh mama, aku mau kawen”. Lagu Raja Ema. Suaranya dijerit sekuat hati membelah pagi yang damai. Kerbau2 Jabatan Haiwan yang hitam, besar lagi garang dengan tanduk keweh di ladang berhampiran masing2 tegak kepalanya, terkejut.

Hari makin cerah dan matahari mula menampakkan sinarnya. Menunggu hingga ke jam kira2 11 pagi, berbekalkan sebuah baldi besi dia membantu ibunya mengutip susu dari pokok ke pokok. Habis mengutip dia berlari pulang bersiap untuk ke sekolah serta memasak nasi dengan dapur kayu untuk adik2. Sebentar lagi jam 1 tengahari ibu akan pulang. Ibu juga tentu kepenatan dan lapar. Tepat jam 12 dia menyusun langkah ke sekolah yang sejauh kira2 5 km. Duit bekalnya setiap hari sebanyak 20 sen, kalau hari hujan ibu tidak menoreh. Ibu akan sediakan sarapan pulut atau ubi kayu rebus bersama kelapa muda parut dan ikan masin. Sarapan bersama minuman kegemaran ibu, kopi hitam pekat yang manis.

Kadang2 pulang sekolah terpaksa mengatur langkah 5 km setiap hari membuatkan anak2 ini termengah2 keletihan. Kaki yang tidak mampu melangkah cuma diseret. Air mata kadang2 tumpah juga. Sambil memetik buah2 dari semak2 yang tumbuh meliar di kiri kanan jalan tanah merah, mereka merehatkan kaki barang sebentar. Hinggalah si ibu mengumpul duit dan membelikan dua buah basikal untuk mereka. Basikal terpakai orang2 kampung. BMX berwarna kuning berharga RM40 sangat “sporty” dan cantik. Mereka berkongsi jadikan kenderaan ke sekolah setiap hari.

Di sekolah anak ini agak aktif. Menyertai pasukan pengakap dan menjadi ketua petrol dan ketua pengawas perpustakaan. Menjadi ahli pengakap, guru mewajibkan setiap pelajar memiliki buku log berkulit tebal. Bersama adik yang menjadi penolong ketua petrol, anak ini akan hanya berdiam diri. Suatu hari, pasukan pengakap mengadakan perkhemahan sehari semalam di padang sekolah. Dua beradik tidak menyertai dan hanya berdiam diri apabila teman2 yang lain riang gembira untuk berkhemah dan mengikuti pesta unggun api pada malamnya. Yuran RM5 tidak mampu mereka sediakan. Buku log berharga RM2 juga tidak mampu mereka miliki. Kadang2 guru menganjurkan lawatan sambil belajar. Apabila guru mengambil nama, anak ini akan sentiasa berdiam diri, sehingga dipaksa untuk menyertai. Yuran RM4 tidak mampu dihulurnya tetapi dia tidak pernah menyatakan hal tersebut pada guru.

Pulang dari sekolah, bercerita pada ibu. Ibunya hanya diam tanpa kata. Anak ini tahu ibunya tidak punya duit untuk hal2 yang bukan keperluan. Keperluan utama mereka sekeluarga adalah makan, yuran sekolah dan simpanan duit untuk membeli buku2. Pendapatan penoreh di waktu itu tidak seberapa. Setiap jualan hasil cuma sekitar RM400 dibahagi dua dengan tuan kebun, kemudian dibahagi dua lagi dengan ibu saudara mereka. Bil elektrik juga perlu dibayar, walaupun tiada peralatan elektrik asas seperti TV, peti dan lain2 nya. Yang ada cuma bekalan elektrik untuk menerangi malam mereka. Kasihan melihat anak yang pintar tetapi tidak pernah menyertai banyak aktiviti di sekolah, lantas ibunya mengizinkan. Dibekalkan si anak beehon goreng dan beberapa biji telur rebus. Si anak mahu ke zoo, melawat kilang “sawmill” dan melihat air terjun Lata Rek. *Tinggalan kilang sawmill yang sudah tidak beroperasi di selekoh jalan ke Kuala Krai itu masih kelihatan hingga sekarang

Belajar malam2 anak ini hanya berbekalkan nyalaan pelita minyak tanah. Suatu malam, dia tertidur tanpa memadamkan api pelita. Tanpa disedari pelita terbalik lalu membakar sebuah bantal dan sebahagian bukunya. Mereka bernasib baik kerana peristiwa disedari sebelum terbakarnya sebuah rumah. Ke sekolah esoknya, anak tersebut ditanyai gurunya. “Kenapa buku kamu ni?”. “Semalam saya membaca dengan pelita cikgu”. Jawab anak tersebut diiringi gelak kecil rakan2 sekelas dan guru berkenaan terus terdiam. Barangkali guru bahasa Inggeris berbangsa cina itu merasa kagum atau apa, tidaklah diketahui.

Anak ini kadang2 merasa malu dengan rakan2 sekolahnya kerana hari sukan tidak dapat memakai seluar “trek” serta baju pasukan berwarna hijau. Setiap bulan guru menjual susu kocak di kelas, anak ini tidak pernah membelinya. Harga susu sekotak 30 sen, bekalannya ke sekolah cuma 20 sen sehari. Dia cuma menundukkan kepala setiap kali nama2 yang membeli dipanggil ke depan kelas mengambil susu pesanan mereka. Ada yang membeli 3 kotak, 6, bahkan sedozen. Apabila rakan2 lain enak menyedut susu, dia cuma akan menyibukkan diri dengan buku2.

Di hadapan rumah mereka ada beberapa pokok mangga. Tiba musim mangga anak ini dan adik2 akan menjual mangga kepada rakan2 di kelas. Harganya mengikut saiz, yang sedan 20 sen sebiji, yang agak besar 30 sen (paling mahal). Musim itek bertelur mereka akan bangun pagi2 berebutkan telur di reban berdekatan air takungan kumbahan. Telur akan dijual kepada jiran2 dengan harga RM1 untuk tiga biji. Dapat duit lebih untuk belanja sekolah, alang kepalang gembiranya. Baju sekolah anak ini dan adik2 kadang2 koyak dan ditampal sendiri dengan jahitan tangan. Kadang2 bila ibu mereka punya masa, ibu akan tampalkan. Kasut sekolah juga koyak sana sini, bocor tumit. Apabila hari hujan, air akan masuk dan membasahi stoking bergetah longgar yang diikat menggunakan gelang getah. Stoking selalu melurut jatuh hingga ke buku lali. Kasut hanya berganti apabila telah rosak teruk. Pakaian seragam sekolah mereka, baju kurung putih sudah tidak putih lagi dan bertukar kekuningan. Di bahagian ketiak mengeras dan berbau hamis. Pakaian seragam juga sama, hanya berganti apabila tidak lagi muat dipakai lalu diperturunkan kepada adik2.

Musim banjir, jalan kampung bertanah merah berbatu kerikil dan berdebu merah akan bertukar becak dan lecah. Lompang2 kecil besar merata dan digenangi air. Kalau bernasib baik anak2 tersebut akan menunggu jentolak sawah Che Draman yang keluar berkerja setiap pagi. Mereka bersama beberapa kawan sekampung akan duduk bertenggek di atas pelapik tayar, menyelit di belakang pemandu, di atas enjin bahagian hadapan bahkan di dalam penyodok saiz gega di bahagian belakang jentolak. Tiba di sekolah pakaian terpalit selut merah sana sini.

Mc Cheq suka menyanyi dan si sekolah dia dilantik menyertai pasukan genderam (pancaragam sekolah). Pertandingan di Majlis Sukan Sekolah2 Kebangsaan akan berlangsung dalam masa seminggu. Setiap ahli perempuan diberi seragam putih dan kain biru corak petak2 bersama tudung hitam bersulam manik dan labuci. Lip lap-lip lap bergermerlapan indah. Para ahli juga diwajibkan memakai kasut kulit hitam. Tidak mampu untuk membeli kasut yang berharga belasan ringgit, si anak selongkar guni2 serta kotak2 buruk yang berlambak di bawah rumah. Dengan harapan akan menemui kasut2 kakak yang tidak dipakai lagi. Tiba2 dia ternampak sepasang kasut yang sangat comel bentuknya, berwarna hitam, padan dengan kakinya. Dibelek2 kasut tersebut dan bibir munggilnya mengukit senyum. Dahinya berkerut tiba2. Kasut itu tertanggal 90% tumitnya dan tidak boleh dipakai lagi. Sejenak dia tersenyum kembali dan berlari ke atas rumah. Dicarinya jarum dan benang hitam. Kasut dijahit rapi dan kemas dengan beberapa lapisan jahitan, supaya tidak tertanggal dan yang paling penting jahitannya mesti sangat halus supaya tiada sesiapa dapat melihatnya dengan sekali imbas. Dia kemudian mencapai penggilat kasut jenama kiwi kepunyaan abang lalu disapu pada kasut yang comel. Digilapnya sampai berkilat dan nampak seperti baru. Dia membelek-belek kasut beberapa kali dan tersenyum puas. Kemudian diletakkan atas pangkin dengan elok. Bimbang berhabut, hilang kilatnya.

Tiba hari yang dinanti, meraka berkumpul di sekolah dan disolek guru perempuan. Ahli lelaki juga turut digincu bibir mereka supaya tidak nampak pucat kata Cikgu Jamilah, guru muzik sekolah. Tiba gilirannya, dia disolek oleh Cikgu Nik Sabariah. “Bibir awak kering dan merekah” tiba2 Cikgu Nik Sabariah bersuara. Simptom tidak cukup vitamin dan zat. Kesan pengambilan gizi yang tidak sempurna. Anak itu hanya mendiamkan diri. Siap disolek dan ditata rapi oleh guru2 perempuan, Cikgu Amir pun muncul. “Kereta dah siap” beritahu Cikgu Amir. Mereka kemudian bertolak ke Sekolah Keb. Tendong di jajahan sama. Bertanding antara zon A dan zon B. Malangnya kerana seragam mereka kurang menonjol mereka cuma mampu meraih tempat ke-2. Pasukan lawan mentertawakan seragam mereka. “Macam baju misi” kata mereka. Kalau dibanding dengan seragam mereka yang berwarna merah pekat dengan vest dan tie memang umpama perbezaan antara dua darjat. Seminggu kemudian guru menjual foto kumpulan. Harganya 60 sen sekeping, tak mampu untuk dimiliki anak itu. Dia hanya mampu melihat kelibatnya dalam foto yang dibeli rakan.

Kecemerlangannya dalam peperiksaan UPSR dengan 5A, melayakkannya bersekolah di sekolah menengah terbaik di bandar Pasir Mas. Dia suka mengarang dan karangan Bahasa Melayunya sering menjadi contoh dan sering dibaca di depan kelas oleh guru dan rakan2. Dari UPSR hinggalah peringkat SPM. Anak ini sangat suka membaca karya2 Awang Sarian, Usman Awang, Ahadiat Akashah dan Othman Kelantan. Panglima Salleh Selempang Merah, Budak Setan dan Bujang antara buku2 kegemarannya.

Bersekolah peringkat menengah di bandar, ibu membekalkannya duit belanja RM2 sehari. RM1 untuk makan dan lebihnya kos kereta penambang. Kalau ada rezeki lebih ibunya akan memberikan duit untuk membeli pas bulanan bas RM30. Keadaan hidup mereka mula bertambah baik. Kak long di universiti sering menghantar duit setiap bulan. Separuhnya membayar hutang kepada tuan kebun getah. Hutang untuk membolehkan kak longnya melanjutkan pelajaran di Universiti Teknologi Malaysia, Skudai. Di sekolah menengah dia berada dalam kelas khas perdagangan bersama2 para pelajar saluran terus di kelas terpandai.

Dalam tingkatan 2, si anak dipanggil temuduga biasiswa kecil persekutuan. Kerana sangat bimbang dan gemuruh, telapak tangannya pucat lesi dihiris tidak berdarah. Alhamdulillah, berkat rezeki dikurniakan Allah, dia dianugerahkan biasiswa bernilai RM25 per bulan. Dia merasa sangat bersyukur kerana tidak lagi membebankan ibu untuk belanja sekolah, seragam dan buku2. Tiga bulan sekali duit biasiswanya dikeluarkan sebanyak RM30-RM50 untuk tujuan membeli buku dan soalan2 skor peperiksaan. Tanpa menghiraukan sindiran rakan2 yang tidak pernah menggunakan duit biasiswa mereka, yang disimpan rapi tidak berusik.

Asal beban si ibu dapat dikurangkan, dia sudah merasa sangat bahagia. Setiap bulan sang ibu akan ke bandar. Ke Jabatan Kebajikan Masyarakat mengambil duit bantuan anak2 yatim sebanyak RM100. Ibu memakai kain batek sarung, berbaju kurung dan selendang bunga2 kecil. Pakaian ibu yang paling anggun. Selepas mengambil duit bantuan, ibu akan pulang dengan dua paket mee kuning, sekilo ikan mata besar dan 2 kilo ikan kering. Ibu membeli sepaket 6 bungkus indomee mee goreng. Ibu rebus dan tos, tambah perencah dan mereka makan bersama2 dengan gembira. Sangat bahagia perasaan mereka. Sangat sedap, tak pernah mereka rasa sebelum ini. Ikan sekilo ibu rebus sampai kering airnya supaya tahan lama dan dapat dimakan selama berhari-hari. Sangat sedap ikan itu apabila digoreng. Minyak gorengan ikan sangat disukai anak ini untuk dijadikan kuah bersama nasi. Lebih sedap lagi kalau gorengan ikan ditambah cili api dan bawang putih yang telah ditumbuk halus dengan lesung batu.

Keputusan SPM tingal beberapa minggu. Hampir setiap malam dia mimpikan keputusan. Hari yang dinanti akhirnya tiba jua. Alhamdulillah dia mendapat keputusan cemerlang dan layak melanjutkan pengajian dalam bidang sains di universiti. Kerana sangat minat dengan biologi dan bercita-cita menjadi seorang doktor kelak (red. tak tercapai), Universiti Kebangsaan Malaysia menjadi pilihannya. Dia akhirnya diterima mengikuti matrikulasi di Kota Bharu. “Apa kelas, universiti kat Kota Bharu”, sindir orang kampung. Selepas setahun di matrikulasi, dia terpaksa berjauhan dengan ibu dan adik2. Kali pertama dia keluar dari kampung halaman. Berhijrah ke bandar besar menimba ilmu mencapai cita2 mengubah nasib keluarga dengan berbekalkan duit jualan kereta kesayangan abangnya. “Dah tak ada jalan lain” kata abang yang cuma berkerja kilang sambil tersenyum. Duit pinjaman pengajian berjumlah sekitar RM3000 setiap semester dikirimkan sebahagiannya ke kampung untuk membantu adik2 yang masih kecil dan bersekolah.

Selepas tiga tahun bertungkus lumus di universiti, sekeping ijazah kini digengaman. Ijazah Sarjana Muda Sains (Kep.) Genetik Molekul. Berbekalkan sekeping ijazah itu dia mencuba nasib berkerja di universiti sama. Rezeki menyebelahinya apabila dia berjaya mendapatkan pekerjaan bergaji RM35 per hari. Si anak akan berkerja di Kuala Lumpur, memaksa sang ibu mengadaikan rantai emas kesayangan. Satu2nya rantai emas kepunyaan ibu. RM600 menjadi bekalan memulakan hidup baru di kota metropolitan. Tiba hari berangkat, si ibu sempat menghulurkan duit RM5. “Ini saja duit yang ibu ada”..katanya dengan mata yang berbinar dan wajah serba tak kena. Tak sampai hati, anak itu menolak. Tetapi si ibu tetap mahukan anaknya menerima RM5 pemberiannya.

Sepanjang perjalanan malam dengan menaiki keretapi Wau Express dia cuma termenung sendiri. Di telinganya tergiang-giang kata2 ibu sewaktu kecilnya. “Kita ini umpama dedaun kering, berterbangan ditiup angin, singgah di mana saja ia jatuh, tersepak lalu melata lagi”... “Kita juga tidak punya saudara mara yang sudi membantu”. Air matanya menitis teringatkan sang ibu, dengan jerih perihnya membanting tulang empat kerat menyara anak yang seramai lapan orang. Tanpa suami, tanpa bantuan sesiapa melainkan bantuan RM100 dari Jabatan Kebajikan Masyarakat.

Gaji pertama, si anak menebus kembali rantai emas ibu. Setiap bulan akan dikirimnya antara RM300-RM400 untuk ibu dan adik2 di kampung. Dengan gaji itu juga dia terus bangkit dan mara mengejar sebuah erti kesinambungan hidup dan membalas nilai pengorbanan seorang ibu. Sambil berkerja dia mendaftar sebagai pelajar sarjana. Berkat ketabahan dan doa yang tidak putus ke hadrat Ilahi dia akhirnya berjaya menamatkan pengajian dalam masa yang singkat. 16 tahun berlalu… si anak sudah pun mendapat pekerjaan yang bagus di salah sebuah institusi berprestig negara. Berbekalkan Ijazah Sarjana Sains dari university sama dia dilamar jawatan pegawai bergaji lumayan.

Menyenangkan hidup ibu dan membahagiakan hati sang ibu menjadi matlamatnya. Sang Ibu sudah berhenti kerja. Ibu pencen macam orang kerja makan gaji. Di usia 56 sang ibu berhenti kerja sepenuhnya. Anak2 sudah besar dan sudah berkerja. Rumah yang robek dan tak pernah siap setelah kematian abah mereka dulu mula disiapkan sedikit demi sedikit. Mereka sekeluarga kini digelar OKB.

Si anak mula memanjakan ibunya dengan apa saja. Hadiah pertama membawa ibunya menaiki kapal terbang buat pertama kali. Menemani sang ibu melihat anak dan cucu2nya yang jauh di Kota Kinabalu. Yang cuma berjumpa beberapa kali dalam berbelas2 tahun. Setiap bulan dilaburkan sejumlah duit ke akaun Tabung Haji sang ibu. Untuk melihat ibu mencapai cita2nya menjejakkan kaki ke Mekah. Kalau dulu duit Tabung Haji ibu sering menjadi mangsa dikeluarkan ibu untuk membantu anak2 kini anak2 sepanjang masa menambah simpanan ibu. Akhirnya impian sang ibu tercapai. Menjejakkan kaki di tanah haram.

Ibu yang dulunya sering menangis bertemankan air mata kini sentiasa tersenyum manis. Kemahuan ibu sedaya upaya dipenuhi. Ibu mau makan apa saja si anak berusaha menyediakannya. Asal sebut Pizza Hut, McDonald, KFC, Old Town Coffee, The Chicken Rice Shop, Johnny’s, Nando’s, Warong Penyet, Kenny Rogers apa saja. Ibu pandai makan steak, pandai makan chicken chop. Ibu jalan2 window shopping atau shopping ke IKEA, the Curve, OU, KLCC, Sogo. Dulu ibu bimbit beg sampai senget bahu daki tangga keretapi, kini si ibu melenggang daki tangga kapal terbang. Sang ibu pandai banding mana hebat antara Emirate, Mas, Air Asia dan Firefly. Tetapi si ibu tidak pernah berbangga2 dengan tetangga. Ibu cuma berbahagia diam2. Dulu kopi hitam pekat dan manis jadi kegemaran, sekarang Old Town White Coffee hazelnut jadi santapan harian. Dan InsyaAllah ibu mau ke Mekah sekali lagi. Si anak juga sudah mencapai impiannya untuk belajar ke luar Negara…. :)

“Kejerihan mengenalkan kita erti tabah, kekurangan mengenalkan kita maksud khudrat, kemiskinan mengenalkan kita makna anugerah…Harus kuat dan tabah seperti waktu2 dulu…”

Karya ini didedikasi kepada ibu, Hajah Yam Binti Haji Awang. Semoga ia menjadi teladan dan pedoman kepada generasi penyambung wasilah keluarga..

Comments

syahirahlahmi said…
rasa nak menitis air mata baca..pengorbanan seorang ibu yg membesarkan anak2..tak pernah mengeluh walaupun sedikit.bertuahnya seorang ibu mendapat anak2 yg mengenang jasa ibu..semoga Allah membalas segala jasa baik seorang ibu itu. sangat2 kagum dengan ketabahan seorang anak kecil ni. bersyukurnya dilahirkan dalam keadaan yg cukup2 senang..tidak lg merasa kesusahan anak kecil ni. berkat usaha dan kesabaran tu mmg mampu membuatkan anak ini berjaya..tahniah utk anak kecil ini..yg mempunyai semangat dan kekuatan yg luar biasa..subhanallah..
DrMaya said…
Jazakallah Khayran..sukriya sis :)