Patah Tumbuh Hilang Tak Berganti.....Episod II


27 April tahun 2000, tiga malam berturut-turut Siti mimpi. Siti mimpi gigi-giginya tanggal. Tanggal semua…aduh sangat sakit. Kenapa gigi Siti tanggal? Siti belum tua, Siti masih muda belia. Perasaan Siti berdebar-debar. Kata orang kalau mimpi tercabut gigi, akan ada kematian orang terdekat. Siti tak keruan, siapa yang nak meninggal? Malam ketiga Siti mendapat panggilan dari kakak Siti di Melaka. Kakak mengkhabarkan tok ayah dah meninggal semalam. Jantung Siti tersentap, air muka Siti berubah dan perasaan Siti berkecamuk.

Baru sebulan lepas Siti pulang bercuti di kampung. Tok ayah tak berapa sihat, tok ayah asyik baring. Tok ayah juga seperti dah nyayuk, tok ayah dah tak kenal Siti. Tok ayah minta air dari siti tapi tok ayah tak bertanya seperti biasa, bila Siti balik?

Siti nak balik kampung, nak tengok wajah arwah buat kali terakhir. Tapi Siti tak ada duit. Gaji Siti sebagai graduate research assistance selalu lambat masuk. Selalu terlambat dua hingga tiga minggu. Siti mundar mandir di makmal. Siti tak tahu nak buat apa. Siti hilang fokus.

Tiba-tiba Dr. Zamri masuk. Kenapa ni? Siti beritahu Dr. Zamri tok ayah Siti meninggal semalam. Awak balik lah..kata Dr. Zamri. Siti segan untuk menceritakan masalahnya. Gaji Siti tak masuk lagi..kata Siti. Nah ambil ni, pergi balik kampung. Dr. Zamri menghulurkan RM 400. Err…Dr, betul ke ni? Takpe lah...Siti menolak dengan sopan. Ambil lah, gaji nanti baru bayar. Tambah Dr. Zamri lagi.

Siti terharu Dr. Zamri baik dengan Siti. Padahal Siti selalu marah student Dr. Zamri. Pasalnya student Dr. Zamri selalu cilok bahan kimia Siti. Yang patut disimpan dalam peti, diletaknya di suhu bilik. Siti garang dengan student undergrad. Mereka takut dengan Siti. Menggigil mereka menafikan kesalahan mereka. Siti selalu buat muka serius. Di belakang mereka Siti gelak kuat-kuat. Bukan Siti jahat, tapi Siti sedikit nakal jer..Siti bosan kalau asyik kena ajar benda sama sampai enam kali. Student tak faham-faham. Nak load gel pun menggeletar dan berpeluh dahi, mana Siti tak bosan?

Dengan RM 400 sudah di tangan, Siti memecut kapcai Honda CDI buruknya ke Perhentian Keretapi Kajang. Siti beli tiket Wau Express perjalanan malam itu juga. Siti pulang ke rumah. Kemas pakaian dan apa yang patut. Selepas maghrib Siti sudah di stesen. Menunggu keretapi sambil termenung. Fikiran Siti melayang jauh. Siti teringatkan tok ayah. Semoga Siti sempat lihat wajah tok ayah esok.

Tepat jam 9 malam dari kejauhan Siti nampak lampu keretapi. Menuju ke stesen. Siti berdiri di platform coach F4. Sebaik keretapi berhenti Siti terus melangkah masuk sambil membimbit beg besar. Siti nampak kakak dan suaminya berdekatan pintu masuk. Siti senyum ke arah mereka sambil terus mencari seatnya sendiri.

Di seat hampir ke belakang coach, Siti nampak seorang pemuda di sebelah seat Siti. Siti tersenyum kepadanya. Pemuda bangun dan memberi laluan kepada Siti duduk di seat tepi tingkap.

Pemuda..ya pemuda yang kemudian hadir dalam hidup Siti. Menyulam impian bersama, ketawa dan menangis bersama. Pemuda itu yang juga telah banyak menumpahkan air mata Siti. Pemuda yang tumpah air matanya demi Siti. Pemuda yang sukar Siti lupakan selama enam tahun kemudian...perjalanan selama 12 jam memutikkan sebuah kisah antara Siti dan dia.

....................................................................................................................

Keretapi menghampiri bandar Pasir Mas jam 11 pagi. Bersama kakak dan abang Siti mengambil teksi. Suasana di rumah sudah lengang. Beberapa lelaki berbaju melayu dan berkopiah sedang mengaji. Rongga nasal Siti menangkap sisa-sisa kemenyan. Siti cari jenazah tok ayah. Tidak ada. Tok ayah sudah dikebumikan kelmarin.

Siti ke dapur, Siti terpandang kot jigga berbelang tok ayah tergantung di dinding. Siti jadi sayu. Tilam dan bantal tok ayah rapi dikemas. Katil tok ayah kosong.

Siti menghampiri emak yang sedang mengaji. Siti baringkan kepalanya di ribaan mak. Emak Siti kehairanan. Mana pernah Siti berkelakuan begitu. Siti anak yang matang. Siti anak yang berdikari. Siti tak pernah bermanja-manja dengan mak. Tiba-tiba esakan Siti pecah. Siti menangis semaunya sambil teresak-esak. Lelaki-lelaki berkopiah turut terkejut dengan deraian air mata Siti yang tiba-tiba.

Emak bertanya kenapa? Siti kata Siti teringatkan tok ayah. Siti terkilan tak dapat menatap wajah tok ayah buat kali terakhir. Tidur malam Siti berbalut kain putih selimut jenazah tok ayah. Bangun pagi Siti terkejut kenapa badan Siti berbalut kain putih? Malam tadi Siti tidur tidak berselimut. Adik beritahu, emak yang selimutkan Siti, supaya Siti tidak terlalu rindukan tok ayah.

Siti dipelihara tok ayah dan nenek sejak umur Siti 2 hingga 6 tahun. Nenek dan tok ayah teman sepermainan Siti waktu kecil. Nenek yang main congkak dan batu selambut dengan Siti bila Siti kebosanan seorang diri tanpa adik beradik yang lain. Tok ayah yang berebut bantal peluk dengan Siti. Bantal peluk jahitan tangan nenek. Tok ayah yang bawa Siti memukat ikan di sungai. Tok ayah yang bawa Siti jalan-jalan ke bandar sekali sekala. Tok ayah yang membawa pulang kucing yang kejar Siti keliling perigi. Bila Siti menangis takutkan kucing, nenek campak kucing keluar rumah. Nenek yang sikatkan rambut Siti yang panjang dan lurus. Tok ayah yang mandikan Siti. Tok ayah yang ajarkan Siti ngaji. Siti hafiz muqaddam pada umur Siti 4 tahun. Siti khatam Quran terlewat pada umur 9 tak macam adik Siti pada umur 7 sebab Siti dah balik bersekolah. Siti tidur tengah-tengah antara nenek dan tok ayah setiap malam.

Emak panggil Siti. Mak beritahu Siti, seminggu sebelum tok ayah pergi, ayah angkat Siti ada datang melawat tok ayah. Rupanya ayah angkat Siti juga dapat merasa tok ayah bakal pergi. Ayah angkat Siti seorang yang alim, budiman dan baik budi pekerti. Bekas guru Biologi Siti semasa matrikulasi. Setiap tahun menjelang Ramadhan dia akan datang bawakan kurma dan kuih baulu buat tok ayah dan keluarga Siti. Dia suka tok ayah sebab tok ayah guru agama. Dia sayang Siti sebab Siti pandai subjek Biologi. Kebetulan nama dia sama dengan nama arwah abah Siti. Dalam kelas dia panggil Siti “anak perempuan saya’’.

...............................................................................................................

Nota kaki cantik:

Dalam post ni ada cerita tentang lima watak yang sangat penting dan bermakna dalam hidup saya.
Banyak surah dah tak ingat sebab dah banyak dosa

Comments