Pergi Tak Kembali...Episod 1


Nak pergi pasar malam ke Siti? Ambil duit ni belikan tok ayah ayam goreng dan nasik kerabu. Tok ayah menghulurkan 2 not RM2. Ada genangan di hujung mata tok ayah. Siti tak pasti apakah kerana tok ayah dah terlalu tua maka mata tuanya yang kelam dan tidak bercahaya lagi terasa perit. Usia tok ayah hampir mencecah angka 100. Atau apakah kerana dia menangis sebenarnya? Matanya terlihat sentiasa basah.

Tok ayah simpanlah duit tu, orang belikan ayam goreng nanti. Tok ayah melipat kembali not RM 2 dan selit celah bantal. Selepas pemergian nenek setahun yang lepas tok ayah sentiasa terlihat menangis. Dia asyik tidur di sebelah tilam tempat nenek selalu baring. Nenek sudah tua, nenek kembali kepada sang pencintaNya di kala usia nenek lebih 100 tahun. Nenek lebih tua dari tok ayah beberapa tahun.

Tok ayah hanya menghabiskan masa dengan mengaji. Tok ayah hafiz Quran, dulu waktu muda tok ayah guru ngaji Quran. Bibir tok ayah sentiasa basah dengan ayat-ayat Quran. Tok ayah mengaji dalam mimpi.

Tok ayah, ni ayamnya..Siti letakkan 2 ketul besar ayam goreng di piring jernih. Tok ayah minta tukar piring. Tok ayah tak suka makan di piring jernih. Tok ayah kata dia rasa macam makan atas lantai. Siti tukar piring. Siti bukakan bungkusan nasi kerabu depan tok ayah. Ada lauk banyak. Ada daging bakar, ada telur asin, ada jeruk bawang, ada solok lada dan ada keropok ikan. Mereka makan sama-sama. Kongsi sebungkus nasi kerabu. Siti suka makan berkongsi dengan tok ayah. Tapi Siti pastikan tok ayah basuh tangan dulu. Sebab tok ayah suka pegang macam-macam. Banyak bakteria kata Siti.Tok ayah kenyang makan ayam goreng kegemarannya. Tok ayah puas makan nasi kerabu lauk banyak.



...............................................................................................



Pulang dari kolej sekali sekala Siti suka berehat di beranda rumah. Rumah kampung papan lapis agak panas. Tiada angin, pokok keliling rumah juga kurang. Siti melirik ke arah tok ayah yang sedang baring. Tok ayah baru habis ngaji. Bila penat tok ayah baring.

Janggut tok ayah dah panjang..tumbuh meliar sana sini. Sampai ke pangkal leher, sampai ke dalam rongga hidung. Serabai la tok ayah ni..Siti bangkit cari angkup besi abang. Cari gunting rambut kecil. Mari Siti kemaskan janggut tok ayah, kata Siti.

Tok ayah baring dekat pintu utama. Tok ayah tak hadang jalan, tok ayah baring sebelah daun pintu yang terbuka luas. Siti duduk sebelah tok ayah. Siti mula mencabut rerambut putih di dagu dan atas bibir tok ayah. Siti kemaskan janggut tok ayah dekat bawah dagu. Siti trim biar pendek misai tok ayah yang dah masuk hidung dan menutup bibir. Kulit tok ayah dah berkedut seribu. Susah nak trim janggut tok ayah. Siti cabut perlahan-lahan rambut putih di leher tok ayah. Siti takut tok ayah sakit, sebab kulit leher lebih lembut. Kulit kendur tok ayah ikut sama tertarik ke atas.

Tok ayah meraba-raba janggutnya yang sudah kemas dan pendek. Tok ayah pejam mata. Ada air bergenang di hujung mata tok ayah. Kalau Siti tak balik, tak ada sesiapa nak trim janggut tok ayah. Tak ada sesiapa nak andam janggut tok ayah yang tumbuh meliar, putih dan panjang.


..................................................................................................





Nota kaki cantik:

Di bulan Ramadhan ini saya rindukan tok ayah saya, tok ayah yang memanggil saya Siti....saya mahu sedekahkan al-Fatihah buat tok ayah saya, semoga tok ayah damai di sana

Comments

Popular posts from this blog

Only in OZ

Jelajah Blog Luar Negara

C.U.R.A.N.G