Derhakakah Wanita?

Benarkah wanita yang lebih tinggi tahap pendidikan dan kerjayanya dikatakan tidak mampu patuh pada lelaki yang bergelar suami? Benarkah sifat ini dipunyai oleh kesemua golongan tersebut? Andaian atau tuduhan ini kalau dilihat dari satu sudut sahaja memang agak tidak adil. Tidak adil bagi pihak wanita dan tidak adil juga bagi pihak lelaki. Bukankah Allah jadikan setiap makhluknya berpasang pasang supaya darinya kita dapat melihat kebenaran kekuasaan-Nya.

Sungguh pun begitu, manusia ini dijadikan berbeza-beza bukan saja rohaninya bahkan zahirnya juga. Dari sudut pandangan sains, genom manusia bersifat/membawa homologi spesis yang serupa namun kandungan trait yang dibawa oleh bahan gennya tetap bervariasi. Meski bersifat totipotensi yakni menyalin sebahagian besar sifat kedua induknya, namun generasi baru yang lahir akan mengalami evolusi. Dengan kata layman ia telah bercampur dan kemudian membahagi pula untuk membawa hanya 46 kromosom jasad manusia mandiri. Sebahagiannya ada yang mengalami proses penyisihan, penyelitan, penyusunan semula bahkan ada yang mungkin mengalami mutasi yakni kecacatan akibat elemen-elemen yang tidak akan dibincangkan di sini.

Lantaran itu, apakah daya fikir atau intelektualiti seseorang juga dipengaruhi oleh sifat genetik di atas? Ya pada sebahagian, dan tidak pada sebahagian yang lain. Hakikatnya proses kemandirian manusia dilihat dari perspektif yang jauh lebih luas. Sepanjang hayat manusia, ia mengalami beberapa fasa kehidupan yang sangat cantik dan tersusun. Manusia berhadapan dengan pelbagai karenah persekitaran, pemakanan, pergaulan sosial serta proses pendidikan sepanjang masa. Dari situlah ujudnya variasi sifat manusia itu sendiri.

Begitu juga dengan jantina, hakikatnya ia hanya memberi perbezaan yang sangat ketara cuma dari bentuk fisiknya. Sedang dari sudut perasaan, kehendak, kemahuan, misi, visi dan aspirasi mereka tetap sama. Pengaruh persekitaran, didikan dan semua yang di atas telah mempengaruhi sikap dan pandangan manusia dengan kapasiti maksima. Jadi, jelas tidak adil sekiranya menyamaratakan semua wanita yang tinggi tahap akademik, tinggi kerjaya akan menjadi isteri yang tidak patuh, atau derhaka.

Banyak kaum wanita sebenarnya bukan berpaksi pada kebendaan material. Tetapi rasa selamat, damai dan bahagia jasmani dan rohani. Wanita zaman ini telah berpuluh langkah lebih mandiri. Telah mencapai tahap pemikiran yang sangat kritis dan rasional. Mereka lebih bijak menilai baik buruk sesuatu perkara. Lebih berani bergerak ke depan. Lalu, akan terhakiskah peran suami/lelaki dalam organisasi keluarga? Sama sekali tidak. Islam menggariskan lelaki sebagai khalifah dan wanita sebagai pendampingnya. Pincang suami pincanglah isteri, pincang isteri maka pincanglah suami. Kenapa tidak? Kerana manusia itu dijadikan berpasang-pasang supaya ia dapat mengambil iktibar darinya. Sebagai pakaian sebahagian yang lain.

Corak kehidupan yang terkeluar dari norma-norma asasi manusia tidak jarang yang membenihkan kecelakaan pada manusia. Patuh. Apakah bermaksud menurut segala arahan dan hukuman tanpa bicara? Dalam undang-undang yang dirangka manusia sendiri pun tetap menetapkan bicara bila dituduh pesalah. Untuk mencari bukti bersama-sama alibi. Lalu, derhakakah sang wanita sekiranya tidak menurut perintah tanpa takwil? Takwil bukan bererti tidak taat. Wanita yang telah dianugerahkan akal yang cerah pasti kadang-kadang mahu mendapat penjelasan lanjut peri pentingnya sesuatu tindakan. Meminta kefahaman yang lebih menurut logik akalnya. Maka, dengan itu lah adanya musyawarrah. Berbincang dan melontarkan pendapat sendiri bagi sesetengah perkara yang tidak jelas padanya. Melaksana setelah jelas jauh lebih baik dari membuta tuli.

Tahap pendidikan yang lebih tinggi pada kebanyakan wanita bukan mau dijadikan ukuran nilai diri. Sebaliknya adalah nilai kendiri. Di mana, dengan ilmu yang ada mampu memimpin wanita ke jalan lebih nyata. Berfikiran lebih bijak dan bertindak lebih bermaruah. Kelebihan ini seharusnya dinilai sebagai bonus untuk memudahkan kehidupan wanita dan lelaki. Isteri boleh membimbing suami bila suami tersilap langkah. Isteri mampu meringan beban suami mendidik zuriat. Malah isteri mampu menjuruskan hala tuju keluarga yang ingin dibina bersama-sama suami. Ibarat bidalan, Sesatlah nakhoda tanpa layar, kakulah lagu tanpa irama.

Patuh juga harus dilihat pada wajarnya sesuatu arahan. Bilamana arahan itu bercanggah dengan hukum agama, wajibkah lagi dipatuhi? Sekiranya suami menyuruh si isteri menanggalkan jilbab kepala, itu tidak wajar. Dalam satu situasi, kereta wanita itu tidak hidup enjinnya. Wanita bertanya masalah kepada lelaki dan lelaki mengatakan ia disebabkan masalah plug. Wanita menjadi bingung dan was-was lalu untuk menguatkan asbab dia berkata “betulkah masalah plug?”. Wajarkah wanita itu dianggap tidak patuh? Tentu tidak. Kemudian wanita tadi ke workshop dan menukar plug keretanya, tanpa memberitahu si lelaki. Dia menjadi lega dan bertambah rasa kepercayaan dan yakinnya pada si lelaki. Wajarkah wanita tadi dikatakan tidak mendengar kata? Tidak wajar bukan. Sedangkan rasa percaya tadi yang bercambah telah diolok-olokan dengan perasaan tidak wajarnya dia dihukum tidak patuh.

Kerjaya yang lebih tinggi juga, bukan bererti wanita sewenang-wenangnya memperbudakkan lelaki. Wanita sangat mengagumi dan hormat pada lelaki yang kuat berusaha. Berusaha mencapai tahap ekonomi diri yang stabil bukan sahaja tergantung pada tinggi mana tahap kerjaya kita. Di zaman ini, sudah terlihat jelas, graduan-graduan universiti menjadi tidak laku di pasaran kerja. Bukankah ini salah satu fenomena pendidikan tinggi sebenarnya tidak menjanjikan masa depan pekerjaan yang lebih berkolar? (selain faktor dasar jabatan). Rezeki yang dilimpahkan Ar-Rahman itu sangat sudi dikongsikan oleh para wanita untuk kelangsungan hidup suami, anak-anak dan keluarganya. Jauh di sudut hati, wanita sayu sekiranya gajinya tidak dikongsikan dengan yang berhak. Wanita perit bila kejayaannya tidak dapat dikongsi dengan orang kesayangannya. Namun mampukan lelaki menilai kesayuan dan keperitan tadi dengan mata hati yang insaf? Bolehkah lelaki berhenti mencerca wanita yang tinggi kerjayanya tetapi tetap mendambakannya di sisi? Tentu tidak adil situasi begini terjadi pada segelintir manusia yang marhaen jiwanya.

Akhir kalam, masyarakat yang terbina dari pelbagai lapisan status, tahap pendidikan, kerjaya yang tinggi rendah dan golongan tua muda harus memandang sesuatu perkara dari sudut positifnya. Jangan kita terlalu menghukum satu pihak bila pihak yang satu lagi tidak mampu mengejar. Adat kehidupan, membutuhkan kita saling menyokong, saling bantu menbantu serta saling insaf menginsafi. Amalan syumul hanya dapat dirasa manis nikmatnya bila kita sudah bersedia menerima satu sama lain seadanya saja. Yang lebih itu bonus, dan yang kurang itu bakal menghadiahkan pahala kesabaran dan kehambaan. Tidak akan ada musabab tanpa asbab, tidak ada pantai tanpa ombak, tidak indah bicara tanpa bijaksana.

Comments

Popular posts from this blog

Only in OZ

Jelajah Blog Luar Negara

C.U.R.A.N.G