Daffodil: Cinta Bukan Manipulasi

Anda menjalani kehidupan yang stabil. Namun, seperti ada sesuatu yang hilang walaupun secara amnya anda baik-baik sahaja. Anda mempunyai karier yang stabil, rumah dan kenderaan yang selesa. Anda dikelilingi oleh rakan dan keluarga yang mendokong.

Suatu hari anda bertemu DIA. Anda seorang yang pintar, terpelajar dan berjaya. Ia terjadi begitu pantas, dan anda membiarkan perkara itu berlaku mengikut arus. Ia benar-benar terasa benar dan natural. Dia tidak pernah merasa seperti itu terhadap sesiapa begitu juga anda. Setelah sebulan berkenalan, anda merasakan kedekatan dan seakan-akan tahu dia adalah bahagian yang hilang yang membawa kesempurnaan dalam hidup anda. Penantian mungkin berakhir di sini.  

Dia muncul sebagai pelengkap, yang tidak pernah anda sangkakan akan hadir memberi makna kepada kehidupan anda. Yang telah ditakdirkan, tidak mungkin hanya kebetulan. Anda adalah teman jiwanya, jodohnya cinta sampai hujung nyawa..dakwanya. Dia mahu mula menyimpan wang kerana sudah ada target. Ingin membina keluarga, mempunyai zuriat dan menghabiskan sisa hidupnya dengan anda.

Tidak akan ada orang lain yang akan cuba mendekati anda lagi. Anda miliknya dan dia akan mempertahankan anda, jaga kesemua kebajikan dan keperluan anda.  Anda adalah destinasi terakhirnya dan dia menjanjikan bulan dan bintang kepada anda. Berjanji akan membelikan anda hadiah-hadiah, merangcang percutian romantis ke lokasi syurga dunia.

Bagaimana janji-janji begitu dapat menyakinkan dan kesungguhannya mencairkan hati anda. Bagaimana untuk tidak mempercayainya? Dia jujur, dia memberitahu anda semua kisah perhubungan dan bekas-bekas kekasihnya. Bagaimana dia tidak pernah menemui seorang pun perempuan yang baik. Si A putus kerana menuduh dia mahu menghabiskan duit sahaja, Si B tidak dapat menerima dia tidak mampu bawa makan di TGI Friday, Si C berlainan akidah, Si D suka menyiasat kemana atau apa sahaja aktivitinya, tengok wayang dengan siapa, Si E suka gaduh, Si F suka mengada-ngada ingin selalu ditelefon dan dimesej, manakala bila sudah jadi kawan tidak mengapa pula...senarai masih panjang. Semua bekas kekasih dalam senarai yang panjang itu adalah perempuan yang tidak baik.

dia menceritakan seluruh kisah hidupnya, hubungan dengan keluarganya, majikannya, dan lain-lain. Namun semuanya cerita dia sering dibuli, disusahkan dan ditindas. Tidak yang baik tentang mereka semua. Majikannya sering mengenakan dia.

Anda hairan, masakan tidak pernah jumpa perempuan yang baik? Bilakah dia akan memikirkan dirinya sendiri? Untuk anda mengetahui dan mempertikaikan kemudiannya mengapa dia hanya menyalahkan orang lain sedangkan dia sendiri yang kelihatannya mempunyai masalah? Dia menafikan menyalahkan perempuan sahaja untuk akhirnya mengaku memang dia yang punca dan punya masalah tersendiri. Masalah apa? kalian tidak tahu sehingga suatu hari anda bangun dari tidur dia telah pun bersama dengan pengganti anda iaitu bekas kekasih yang tidak disukainya dahulu. Atau teman biasa yang dia sering bertemu ketika dia menghilang diri dari radar anda.

Anda diperlihatkan betapa bahagianya mereka. Di media sosial dan di mana-mana sahaja. Perkara yang anda mahukan selama ini, layanan yang paling minima dan adil, kehendak asas untuk dibalas serupa, untuk dicintai, disayangi, dihargai dan dihormati kini diberi kepada pasangan baharu, recycled ex atau siapa yang mungkin tidak tahu kewujudan anda. Keliru, terpukul, terbuang, terkhianati, terpedaya, tertipu, diperguna dan segala perasaan jijik dan jelek kini menerobos minda dan hati anda. Dia menempelak anda dengan pengkhianatan terbesar terhadap nilai anda tanpa rasa bersalah dan berdosa. Tiada sedikit pun perasaan belas ihsan apatah lagi bertanggungjawab. Dia tampak lebih bahagia di sana bersama pasangan yang penyabar, memahami dan tidak banyak kerenah. Diceriterakan mereka telah menjalin cinta bertahun sudah lebih lama dari perhubungan anda dan dia! Bingung lagi...REALITI seakan tidak pernah wujud. Hubungan anda dan dia sebenarnya FANTASI belaka. Dia juga adalah fantasi yang sebenarnya tidak pernah wujud. Fairytale yang tak tercatit.

Ya, anda telah dipertemukan dengan seorang narcisis terselindung (covert). Suatu hari anda bangkit dari tidur, dia bukan lagi sosok “the one” yang anda nantikan selama ini. Seolah-olah anda dihipnosis untuk masuk ke alam fantasi cinta luhur yang menjanjikan bahagia, sejenak anda tersedar telah mengembara di sebuah dunia gelap penuh bara dan onak duri selama beberapa tahun untuk menuju ufuk barat. Terdengar suara halus di dalam benak anda mengatakan ini jalan ke neraka bukan ke syurga. Lalu tiba-tiba anda terbangun keesokannya di ufuk timur semula. Anda kenal Shelob dalam LOTR atau Kaa dalam The Jungle Book? Atau lebih tepat lagi si Lucifer?

Anda mula membuat carian di Google, menaip kata kunci “silent treatment”. NPD muncul disegenap pelusuk carian. Anda mula mengkaji dan mengkaji...berbulan-bulan, masuk tahun. Ianya matching! Rupanya segala perlakuan dan sikapnya menggambarkan dia penderita NPD-Narcisstic Personality Dissorder. Sia-sia sahaja air mata yang anda tumpahkan kerana bersimpati pada nasib malangnya selama ini. Membuang masa sahaja anda cuba sedaya upaya untuk membantu dia mengubah taraf hidup. Begitu juga masa yang terbazir kerana menunggu dia juga bukan sekejap. Anda telah rugi banyak dari segala segi, masa, tenaga, emosi, wang ringgit..dalam pada anda cuba empower dia, dia sebaliknya bertindak menghancurkan anda.

Namun, percayalah...Allah itu tidak tidur. Dia tahu dan mengerti apa dan bagaimana seorang anda telah tulus ikhlas memberi dan berkorban. Namun tetap disakiti jua. Anda punya jiwa dan hati yang sangat suci murni dan jujur. Disebalik dia yang begitu, anda telah berusaha membahagiakan dia. Anda memberi seluruh usaha untuk menjayakan nya. Sebenarnya anda tidak rugi. Dia lah yang rugi. Pasti kifarah juga akan ada untuk setiap baik buruk tindakan manusia. Bersabarlah dan bersyukurlah kerana Allah telah menjaga anda dari keburukan nyata yang lebih parah jika terus bersamanya. Anda akan kehilangan jati diri, anda jadi bergantung, anda tidak berdaya membuat keputusan untuk diri sendiri, anda akan terus dimanipulasi emosi dan empati dengan sikap play victim dia, selalu susah tak berduit semata-mata untuk mengikis ringgit anda. Anda akan ditindas lebih teruk lagi. Cukup lah sampai di situ. Mujur anda telah mendapat gambaran lebih awal. Ketidakyakinan anda terhadapnya berasas.

Comments

Popular posts from this blog

Only in OZ

Jelajah Blog Luar Negara

C.U.R.A.N.G