Ketik

Thursday, June 25, 2015

Bahagia itu dari ketenangan hati dan keberkatan rezeki

Benar nikmat yang jitu letaknya pada ketenangan hati dan fikiran. Serta keberkatan dalam rezeki, usia dan kesihatan. Saya merasakan saat ini sedang berada dalam ketenangan yang teramat dan mendapat nikmat rezeki dan kesihatan yang melimpah ruah tanpa ada hadnya.

Walau kadang-kadang, saya sering sakit-sakit ringan, saya anggap ia sebagai suatu medan ma'rifatullah iaitu bagi mendidik diri mengenal Allah melalui tanda-tanda kebesaranNya bagi memberi keyakinan yang mendalam terhadap keesaanNya.

Apa saja yang kita kekurangan berbanding rakan-rakan seangkatan mudah kita rasai jurangnya. Namun, sifat bersyukur in shaa Allah akan memberi tanda-tanda kebahagian yang bukan kita sahaja yang dapat merasainya, malah turut di sedari orang-orang keliling juga. Bagaimana? Ya..melalui rasa ketenangan, terlihat senang dan nur yang terlukis di wajah serta perwatakan yang ceria.

Bagaimana saya boleh berdialog sedemikian? Kerana apabila kita ke mana-mana sering disapa tampak awek muda sehingga diterka 10 tahun lebih muda dan ceria selalu seperti tiada sebarang permasalahan yang dilalui. Walau dari sisi lain saya kadang mempersoal, persepsi itu kah yang mungkin menjadi asbab meletakkan diri ini jauh ke belakang berbanding rakan-rakan seangkatan. Jauh di sudut hati, pada usia ini kita juga ingin punya kehidupan yang optimum dan lengkap.

Berada di puncak kerjaya selaras dengan pengalaman dan kebolehan. Di kelilingi suami dan anak-anak dalam sebuah keluarga sempurna dan bahagia. Merancang masa depan anak-anak dan sebagainya. Namun, semua itu yang seakan-akan payah untuk menjadi kenyataan turut mengundang rasa inferior serba sedikit. Justeru, dari kekurangan itulah perlu kita cari titik mula, bagi mencipta suatu bahagia dan syukur dengan bahagian yang telah dianugerahkan dan ditakirkan Dia buat kita. Andai masih ingat, bidalan saya yang sekian lama dulu. Sesungguhnya jika kita ini dipandu nafsu, kita akan sentiasa nampak rumput jiran itu lebih subur menghijau dari rumput kita.

Semoga catatan ini dapat mengingatkan kita, khususnya diri ini tentang siapa kita di dunia fana ini. Semoga dapat menyedarkan dan menginsafkan kita akan hakikat kehambaan. Bahawa segala takdir hidup kita adalah dalam perbendaharaan Allah s.w.t.

Sesungguhnya telah banyak rahmat Allah buat kita, yang harus kita renungi dan syukuri.

Akhirnya hadiahkan Alfatihah buat arwah ibuku..Hajah Yam Bt. Hj Awang, semoga ibu tenang di sana, diperluas liang kuburnya 70 hasta kiri kanan depan belakang atas bawah. Disimbahi cahaya dan nyaman, Dijadikan alam barzakh itu tempat rehat yang singkat dan damai buatnya. Dibangkitkan kelak ke syurga FirdausMu tanpa hisab serta dijauhi dari siksa kubur. Pertemukan dan himpunkan kami di syurgaMu. Sesungguhnya saya sering merindui arwah.

No comments: